TAZKIRAH

TAZKIRAH

11 golongan manusia didoa Malaikat PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. 

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. 

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’ ”

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu’alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

—————————————————————————————————————————

ASAL KEJADIAN NERAKA

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra.. berkata:
Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w.: ‘Mengapa aku melihat kau berubah muka?’
Jawabnya: ‘Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan seksa kubur itu benar, dan seksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia berasa aman daripadanya.’

Lalu nabi s.a..w. bersabda: ‘Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.’
Jawabnya: ‘Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun……..

MUAT TURUN PENUH ASAL KEJADIAN NERAKA.

———————————————————————————————————————–

Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat

 DARIPADA Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sempurnakanlah sujudmu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur).”

Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.

Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was-was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian lain.

Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya. Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika. Dari segi kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain.

Hal ini terbukti oleh saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli sains menemui bahawa ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.

Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan tangan ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dulu.

Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki.

Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari. Semua anggota disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang sedang solat iaitu seperti mana diperintahkan Rasulullah SAW.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Fakta benar:

1.  Dua seruan yang ditakuti oleh Syaitan ialah seruan azan dan iqamah (Hadis Riwayat at-Tarmizi)

2.  Surah terpanjang di dalam al-Quran ialah al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat.

3.  Surah terpendek di dalam al-Quran ialah al-Kautsar dengan hanya tiga ayat sahaja.

4.  Surah-surah diturunkan pada waktu siang kecuali surah al-Falaq dan an-Nas. Dua surah ini boleh mengelak dari angkara jahat jin, syaitan dan manusia.

5.  Dua dosa besar yang Allah segerakan balasannya di dunia ialah BERZINA dan DERHAKA kepada ibu bapa.

———————————————————————————————————

Jaafar Abu Talib diberi sayap syurga

JAAFAR bin Abi Talib atau dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.

Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.

Jaafar memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Mereka juga telah menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.

Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.

Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.

Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: “Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali.”

Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: “Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?”

Jaafar pun bangkit berdiri dan menjawab dengan sopan serta lancar sekali.

Katanya: “Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.

“Tetapi kini Allah SWT mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami berpindah ke negeri paduka.”

Najashi pun bertanya lagi: “Apa pandangan kalian tentang Isa?”

Jaafar pun bangkit lagi: “Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya.”

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.

Jaafar telah syahid ketika menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.

Ketika beliau syahid, terdapat lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.

Rasulullah menyifatkan kedudukan Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurga.

Bumi Bukti Kekuasaan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 Sheikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT telah menerangkan tentang kedatangan hari kiamat, bahawa manusia pada hari itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan manusia yang celaka dan yang bahagia.

“Seterusnya Dia menjelaskan pula bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia yang saat itu bersuka ria, yang mana tergambar pada wajah-wajah ceria.

“Lalu, ditegaskan dengan mengemukakan hujah-hujah untuk melumpuhkan orang yang mengingkari-Nya. Diarahkan pendangan mereka untuk mengamati jejak kekuasaan-Nya atas sesuatu yang ada di hadapan mereka dan yang berada dalam jangkauan penglihatan mereka seperti langit yang menaunginya, bumi yang menyanggahnya, unta yang dimanfaatkan untuk berpergian serta dimakan dagingnya, diminum susunya, manakala bulu-bulunya dijadikan pakaian, dan gunung-ganang sebagai panduan mereka di padang sahara dan ketika menyusuri jejak”.

Firman Allah SWT: (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Al-Mawardi berkata: Berdasarkan ayat-ayat ini menunjukkan tiga perkara:

i. Untuk mereka berdalil dan mengambil bukti serta pengajaran atas kudrat Allah dan Keesaannya.

ii. Supaya mereka mengetahui berkenaan kudrat-Nya atas semua perkara dan mampu serta berkuasa untuk membangkitkan mereka pada hari kiamat, seperti kata Yahya bin Salam.

iii. Allah SWT tatkala menyifatkan syurga kepada mereka lantas mereka yang sesat merasa hairan. Justeru, disebut bagi mereka tentang perkara yang ajaib untuk menghilangkan kehairanan mereka. Inilah pendapat Qatadah.

Kenapa dinyatakan unta?

Sayid Qutub berkata: Unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan alat kenderaan dan pengangkutan mereka. Susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka.

Bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Ia merupakan sumber utama kehidupan.

Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah namun ia mudah dituntun.

Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Walaupun kegunaan dan perkhidmatannya begitu besar, namun perbelanjaan memeliharanya kecil. Makanannya senang dan belanjanya murah.

Unta adalah binatang yang paling sabar dan tahan lasak. Ia tahan lapar, dahaga, penat dan gigih menghadapi keadaan-keadaan yang buruk.

Firman Allah SWT: dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?

Ibn Kathir berkata: Syuraih al-Qadi menyebut: Marilah keluar bersama kami sehingga kami dapat melihat unta bagaimana ia diciptakan dan langit bagaimana diangkatnya. Bagaimana Allah SWT mengangkat langit daripada bumi? Hal ini amat besar dan hebat.

Firman Allah SWT: dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

Ibn Kathir berkata: Ia bertujuan untuk menetapkan bumi dengan pasaknya. Begitu juga dijadikan padanya sebahagian daripada manfaat dan hasil galian.

Al-Maghari menambah: Ia dapat didaki pada setiap saat, menjadi panduan bagi orang yang melintasi padang tandus dan menjadi tempat pancuran air hujan untuk mengairi tanaman dan minuman haiwan.

Firman Allah SWT: dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Hamka berkata: Dan perjalanan itu dilakukan di muka bumi, beratap langit, berpasak gunung dan alat pengangkutan unta. Semuanya terjadi di muka bumi, maka dengan sendirinya sebagai renungan terakhir memandang bagaimana Allah SWT menghamparkan bumi untuk manusia hidup.

Penutup

Sayid Qutub berkata: Empat ayat pendek ini mengumpulkan bahagian-bahagian alam sekitar masyarakat Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka buat pertama kalinya.

Di samping itu, ia mengumpul bahagian kejadian yang nyata di seluruh alam ini iaitu kejadian langit, bumi, gunung-ganang dan unta yang mewakili seluruh haiwan yang lain dengan keistimewaan kejadiannya serta nilai khususnya dalam masyarakat Arab.

Seluruh pemandangan terbentang kepada semua penglihatan manusia. Di mana sahaja mereka berada, akan bertembung dengan langit, bumi, gunung-ganang dan haiwan.

Walaupun sebanyak mana dan sejauh mana ilmu pengetahuan dan tamadun manusia, namun seluruh pemandangan ini tetap di dalam alam mereka dan di dalam kemampuan akal mereka.

Dan seluruh pemandangan ini menyarankan kepada mereka hikmah yang wujud di sebalik penciptaannya apabila mereka menumpukan perhatian untuk mencari makna dan tujuan di sebaliknya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan mengetahui dalil untuk makrifah Allah SWT.

DIET RASULULLAH

Rupanya tanpa kita sedari, dalam makanan yang kita makan sehari-hari, kita tidak boleh makan sesuka hati kita saja. Inilah penyebab terjadinya berbagai-bagai penyakit antara lain penyakit kencing manis, lumpuh, sakit jantung, keracunan makanan dan penyakit-penyakit lain. Apabila anda telah mengetahui ilmu ini, tolonglah ajarkan kepada yang lainnya.

Ustaz Abdullah Mahmood mengungkapkan, Rasulullah tidak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai menjaga makanannya sehari-hari. InsyaAllah kalau anda ikut diet Rasulullah ini, Anda takkan menderita sakit perut ataupun keracunan makanan.

Jangan makan SUSU bersama DAGING
Jangan makan DAGING bersama IKAN
Jangan makan IKAN bersama SUSU
Jangan makan AYAM bersama SUSU
Jangan makan IKAN bersama TELUR
Jangan makan IKAN bersama DAUN SALAD
Jangan makan SUSU bersama CUKA
Jangan makan BUAH bersama SUSU (Contoh : KOKTEL)

CARA MAKAN
* Jangan makan buah setelah makan nasi, sebaliknya makanlah buah terlebih dahulu, baru makan nasi.
* Tidur 1 jam setelah makan tengah hari.
*Jangan sesekali tinggal makan malam. Barang siapa yg tinggal makan malam dia akan dimakan usia dan kolesterol dalam badan akan berganda. Nampak memang sulit.. tapi, kalau tak percaya? Kesannya tidak dalam jangka pendek?. Kesannya akan nampak bila kita sudah tua nanti.
* Dalam Al-Quran juga melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan laut. Nabi pernah mencegah kita makan ikan bersama susu. kerana akan cepat mendapat penyakit. Hal ini terbukti oleh ilmuwan yang menemukan bahawa dalam daging ayam mengandung ion+ sedangkan dalam ikan mengandung ion-, jika dalam makanan kita ayam bercampur dengan ikan maka akan terjadi reaksi biokimia yang akan dapat merosakkan usus kita.

Al-Quran Juga mengajarkan kita menjaga kesihatan spt membuat amalan antara lain:

1. Mandi Pagi sebelum subuh, sekurang kurangnya sejam sebelum matahari terbit. Air sejuk yang meresap ke dalam badan dapat mengurangi penimbunan lemak. Kita boleh saksikan orang yang mandi pagi kebanyakan tidak gemuk.

2. Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air dalam peti sejuk/ais) setiap pagi. Mujarabnya InsyaAllah jauh dari penyakit (susah mendapat sakit).

3. Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit setelah membaca doa). Kita akan terhindar dari sakit kepala atau migrain. Ini terbukti oleh para ilmuwan yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang tersebut.

4. Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari.Begitu juga ahli saintis telah menemukan bahawa enzim banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzim sejenis alat percerna makanan).

Sabda nabi : “Ilmu itu milik Allah, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan insyaAllah, Allah akan menggandakan 10 kali kepadanya”

—————————————————————————————————————————-

HADIS

Dari Ibn Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : ” Sesungguhnya
Allah memaafkan bagiku daripada umatku segala perbuatan dari kesilapan dan
kelupaan dan segala yang dipaksa ke atas diri mereka.”

MUTIARA KATA

Kelebihan Bismillah
1. Allah memerintahkan malaikat mencatat amal manusia yang membaca
bismillah sebanyak 400 kebaikkan.
2. Membaca 21 kali ketika hendak tidur akan aman daripada
syaitan,kecurian,maut mendadak dan bala.
3. Membaca 313 kali kali bismillah dan salawat atas nabi S.A.W 100 kali
pada hari ahad di saat matahari terbit dengan menghadap Qiblat,akan
mendapat rezeki yang tiada terduga.
4. Membaca 50 kali di hadapan orang zalim,akan tunduk atau takutlah orang
zalim itu.
TAZKIRAH
Cawan vs Air
SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas
pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas
pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka
bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan
berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada
yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai
permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta
masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil
cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca
dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang
biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu
minum menggunakan cawan pilihan mereka. Apabila semua bekas pelajar itu
mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan,
semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan
yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih
yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah
dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita
secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan
ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat
semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau
pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah.
Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa
untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran
bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak
pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat
perkara:

# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang
lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita.
Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan
‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta
menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam
kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan
sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga
melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang
kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita
tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya.
Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk
membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah
‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian
akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan
berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai
khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita
syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan
memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki:

“Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia
atau mati? Jawapan Saidina Ali memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih
kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat
bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa
guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.
————————————————————————————————————————-

4 thoughts on “TAZKIRAH

  1. As salam…..tazkirah yang saya baca diatas tkdi……….sangat bagus…dan berguna ….apew yang saya tak tahu selama nie……sudah saya tahu selepas saya membaca tazkirah nie…terima kasih kerana berkongsi tazkirah nie…….:-)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s