‘Dusta jika anggap Interlok tidak baik’

Utusan Malaysia (12 Januari 2010)

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pihak yang mendakwa kandungan dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain sebagai berniat tidak baik, sebenarnya berdusta kepada orang ramai.

Penulis tersohor tanah air, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, novel itu secara keseluruhannya adalah wacana pemikiran besar mengenai pembinaan satu bangsa yang disampaikan oleh pengarangnya secara kreatif dan halus.

Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menambah, dalam menilai sesebuah naskah karya, apa yang perlu diperhatikan oleh khalayak pembaca adalah pemikiran induk di dalamnya kerana itulah hasrat sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang.

Hal-hal lain kata beliau, seperti dialog atau imaginasi watak-watak di dalamnya hanyalah berfungsi sebagai pelengkap kepada wacana pemikiran induk tersebut.

”Bagi saya pemikiran induk di dalam karya Interlok adalah sangat luar biasa dan tiada siapa yang boleh menafikan hakikat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik buku berjudul Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu tingkatan lima bermula tahun ini.

Mengulas tindakan membakar novel Interlok itu, Swee Tin berkata, perbuatan tersebut langsung tidak mencerminkan kesantunan cara hidup rakyat di negara ini dan tidak wajar dibudayakan.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang bertelagah pendapat seharusnya menyelesaikannya dengan lebih ilmiah termasuk di meja rundingan dan perlu objektif dalam menerima pandangan bertentangan mengenainya.

”Pemilihan novel Interlok adalah hasrat murni kerajaan dalam mendedahkan kesusasteraan kepada pelajar untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai jati diri yang kukuh,” kata beliau.

Begitupun di sebalik kemelut mengenai novel itu, Swee Tin lebih berminat melihat dari sudut positif yang mana katanya, masyarakat mula memberi perhatian dan menaruh minat tinggi terhadap karya sastera negara.

Perkara itu tambah beliau, adalah sesuatu yang jarang berlaku apatah lagi untuk sesebuah karya tersebut diperkatakan oleh masyarakat daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein berkata, kemelut mengenai isu novel Interlok sudah terkeluar daripada perbincangan asal apabila ia lebih menjurus kepada kepentingan politik.

”Novel ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian hari ini kerana ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Ditanya pandangan beliau sekiranya bahagian di dalam buku itu yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman digugurkan, Ismail berkata, perkara tersebut menyentuh prinsip yang sensitif dalam berkarya.

Begitupun katanya, dalam menimbangkan perkara itu, perkataan-perkataan yang membawa maksud penghinaan dalam bahasa lain juga perlu diberi perhatian yang serupa.

Bagaimanapun, novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan menyentuh mengenai sensitiviti perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s